Breaking News
Loading...

: : Jika mahu manusia boleh berubah : :

Share on Google Plus

Dr Asri: Jika mahu manusia boleh berubah

AL-QA’NABI (130-221H) ataupun nama penuhnya ‘Abd Allah bin Maslamah bin Qa’nab al-Harithi merupakan anak murid al-Imam Malik bin Anas.

Al-Qa’nabi dianggap antara murid Malik yang terbilang. Dia mendampingi al-Imam Malik di Madinah dalam tempoh yang lama dan dikatakan selama lebih 20 tahun.

Dia salah seorang perawi al-Muwatta daripada al-Imam Malik. Bahkan dia dianggap perawi al-Muwatta paling thiqah (dipercayai). Terkenal dengan zuhud dan warak dan doanya mustajab.

Beliau digelar al-Rahib ataupun pendeta kerana kuat beribadah. Amat disanjungi oleh ahli-ahli hadis. Beliau juga salah seorang al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Namanya amat besar dalam dunia periwayatan hadis.

Al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597) dalam Kasyf al-Musykil menyebut riwayat daripada salah seorang anak al-Qa’nabi bahawa bapanya dahulu – semasa di Basrah peringkat awal- meminum nabiz (air perahan/tuak) dan terlibat dengan perkara yang tidak baik.

Ketika dia berada di pintu rumahnya, ilmuan hadis besar Basrah iaitu Syu’bah bin al-Hajjaj lalu bersama dengan orang ramai yang mengikutnya.

Al-Qa’nabi bertanya: “Siapakah dia ini?”. Mereka memberitahunya: “Itu Syu’bah”. Dia berkata: “Siapa dia Syu’bah?”. Mereka menjawab: “Muhaddith (ahli hadis)”.

Al-Qa’nabi yang ketika itu memakai kain merah keluar di hadapan Syu’bah lalu berkata: “Bacakan kepadaku hadis". Syu’bah menjawab: “Engkau bukan kalangan ahli hadis untuk aku meriwayatkan hadis untukmu”. Lalu al-Qa’nabi mengugutnya dengan pisau sambil berkata: “Samada kau riwayatkan hadis untukku ataupun aku cederakan kau”.

Maka Syu’bah pun berkata: “Telah menghadiskan kepadaku Mansur daripada Rib’i (bin Harash) daripada Abu Mas’ud (Al-Ansari), beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW : “Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu”.

Mendengar hadis tersebut al-Qa’nabi telah mencampakkan pisaunya dan pulang ke rumahnya. Dia mencurahkan semua nabiz yang ada di rumahnya. Dia meminta ibunya jika kawan-kawannya datang izinkan mereka masuk, beri mereka makan dan beritahu apa yang telah dia lakukan iaitu menuang semua nabiznya agar mereka tahu dan pulang.

Lalu Al-Qa’nabi pergi ke Madinah (tempat kelahirannya) dan berguru hadis dengan al-Imam Malik bin Anas. Apabila dia pulang ke Basrah semula, pada masa itu Syu’bah telah meninggal. Dia tidak sempat mengambil hadis dari Syu’bah melainkan sepotong hadis tadi iaitu:

“Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu”. (Ibn Jauzi, Kasyf al-Musykil min Hadith al-Sahihain 1/437. Riyadh: Dar al-Watan).

BERUBAH

Saya petik kisah di atas bagi menggambarkan betapa insan itu boleh berubah dengan perubahan yang sangat besar dalam hidup, dari seorang insan yang kurang baik kepada yang terbaik dan amat baik.

Sehingga ALLAH mengangkat namanya di persada kesolehan dan kemuliaan.

Tiada yang menghalang seseorang untuk berubah menjadi watak yang sepenuhnya berbeza dari zaman kegelapannya apabila dia mendapat cahaya petunjuk dan benar-benar memenuhi dirinya dengan cahaya itu.
Keikhlasan akan menjemput pertolongan ALLAH hadir untuk seseorang yang benar-benar ingin berubah dan terus istiqamah atas perubahan dirinya itu.

Untuk berubah kepada kebaikan kadang-kala tidak memerlukan peristiwa besar. Dalam kes al-Qa’nabi tadi, tadi satu ungkapan hadis sahaja telah merubah keseluruhan hidupnya.




Wallahualam 
Sumber: sinar harian

You Might Also Like

0 comments

Entri Populer

About me

Like us on Facebook