Breaking News
Loading...

:: Ulama Minggu Ini ::

Share on Google Plus

Assalamualaikum wbt.
'Ulama Minggu Ini' pada kali ini membawakan kepada anda tokoh yang sangat masyhur di dalam gerakan dakwah Islamiah iaitu As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (IHAB). Perjuangan dan pengorbanan beliau dalam medan dakwah adalah tidak asing lagi buat kita, bukan? Jadi, ayuh kita dalami serba sedikit sejarah hidup dan usaha dakwah yang sempat dilakukan oleh IHAB sepanjang hidupnya, mudah-mudahan menjadi pembakar semangat kita untuk turut bersama beliau menyebarkan kepada ummah takrif Islam sebenar.
IHAB dilahirkan pada Oktober 1906 di desa Al-Mahmudiyah, Iskandariah, Mesir. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang sangat dihormati dan kuat pegangan Islam. IHAB merupakan anak sulung daripada 5 orang adik beradik dan ayahnya pula, Syeikh Ahmad Ibn Abdul Rahman Al-Banna ialah seorang ulama, imam, guru dan pengarang kitab-kitab hadis dan fiqh. Di rumah mereka terdapat satu perpustakaan yang besar. Ayahnya selalu mempelajari sunnah-sunnah Rasulullah dan mngadakan perbincangan dengan rakan-rakannya di kedai dan di rumah. IHAB juga sering mengikuti perbincangan tersebut.
Apabila semakin meningkat dewasa, ketokohan dan keilmuan yang diwarisi daripada ayahnya kian terserlah. Beliau telah menghafaz Al-Quran ketika usia masih muda dan disebabkan kebijaksanaannya juga beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah ketika baru berusia 16 tahun.
Di Kaherah inilah beliau terdedah dengan pergolakan politik dan aliran-aliran yang menentang Islam. Beliau telah menganggotai pertubuhan Islam dan menyebarkan dakwah di merata-rata tempat termasuklah di kedai-kedai kopi dan di tempat orang ramai selalu berhimpun. Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam. Di rumah itu Jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.
Ketika ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah, Hassan al-Banna dengan tegas menjawab,"Hanya Allah yang tahu berapa malam kita menghabiskan masa untuk memikirkan masalah ummah, pada peringkat mana mereka telah melaluinya dan kesakitan dan keperitan yang telah mereka lalui. Dan kita merenung sumpahan yang dikenakan atas kesakitan yang dilalui oleh Ummah. Kesukaran dan kepahitan yang dilalui oleh mereka mungkin berakhir dengan munajat dari kita semua."
Setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.
Apabila kerajaan Mesir mula terasa terancam dengan Ikhwanul Muslimin, Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi mengharamkan gerakan ini atas tuduhan merancang pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Beliau juga mengarahkan supaya kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 dibubarkan. Pengikut Ikhwanul Muslimin yg marah dengan keadaan ni mula menimbulkan ketegangan dengan pihak kerajaan. Demi mengatasi keadaan ini, pihak kerajaan menjemput IHAB utk berunding di Pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin yang mana jemputan ini sebenarnya merupakan helah utk membunuh beliau.
Hari yang ditakdirkan iaitu 12 Feb 1949 pada jam 5 petang, IHAB dengan iparnya Abdul Karim Mansur yang juga merupakan seorang peguam berada di pejabat tersebut. Malangnya, Menteri Zaki Ali Basya yg dikatakan akan mewakili kerajaan untuk berunding tidak kunjung tiba. Akhirnya, selesai solat Isya', mereka mengambil keputusan untuk pulang. Ketika hendak menaiki teksi, dua org yg tidak dikenali menuju ke arah teksi tersebut dan terus melepaskan tembakan pistol tepat kepada mereka. Iparnya langsung tidak dapat bergerak selepas ditembak manakala IHAB yg walaupun terkena 7 das tembakan menahan kesakitan dan berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah utk panggil ambulans.
Setibanya di hospital Qasrul 'Aini, mereka dikawal Jeneral Muhammad Al-Jazzar yang tidak membenarkan mereka menerima sebarang rawatan. Takdir Ilahi, pada pukul 12.50 malam, IHAB menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat kehilangan darah yg serius. Peristiwa yg berlaku pada tanggal 12 Feb 1949 ini merupakan detik sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh umat Islam keseluruhan khususnya para pejuang agama. Pada tarikh ini dunia telah kehilangan seorang mujahid yg juga merupakan pelopor utk menjulang agama Islam ke kemuncaknya. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.
Subhanallah, sungguh besar dan dahsyat pengorbanan yang dilakukan beliau dalam memastikan sunnah terbesar Rasulullah SAW ini tidak terhenti. Mudah-mudahan perkongsian ini sedikit sebanyak menjadi pemangkin semangat kita untuk sama-sama menyumbang kepada agama yang kita cintai ini. Teruskanlah mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita dan para mujahidin terutamanya di Mesir, kerana apa yang mereka harapkan daripada kita hanyalah doa yang tidak henti-henti. Mudah-mudahan dengan doa kita sekalian mujahidin penuntut ilmu, akan tertegaknya kembali empayar Islam yang agung di muka bumi ini.

:: RUH Dibina, MINDA Dijana ::

You Might Also Like

0 comments

Entri Populer

About me

Like us on Facebook